HANYA KAMU JOHANNA - DILLA AHMAD
HARGA : RM24.00
BUKU : BARU
J ohanna terus ketawa geli hati apabila melihat wajah Mak Mah yang nampak sungguh terkejut itu. Terus dipeluk bahu Mak Mah. Kesian, Mak Mah. Pucat sungguh muka orang tua itu!
“Saya bergurau ajelah, Mak Mah,” katanya sambil tergelak kecil.
Mak Mah terus memukul lengan Johanna kemudian dia berlalu ke dapur. Kepala digeleng perlahan. Betullah si Johanna ni. Buat dia terkejut saja. Seram juga Mak Mah tengok muka Tuan Syed Harraz merenung Johanna. Johanna... Johanna…
“Very funny…” Suara Syed Harraz yang garau dan dalam itu membuatkan Johanna berhenti ketawa. Dia berdehem perlahan lalu memandang wajah mamat jambang itu semula. “Awak buat masalah ke kat rumah akhlak tu?” tanya Syed Harraz. Johanna pula hanya diam sahaja.
“Kenapa tak jawab? Saya tanya ni.” Mata Syed Harraz bulat memandang Johanna.
“Gua bergaduh… Pukul orang. Lepas tu umi hantar wa ke sini suruh tolong Mak Mah selama satu bulan atau lebih sebulan. Terletak kat tangan lu…” terang Johanna bersahaja.
“Gua?” Kening Syed Harraz sudah terjongket sebelah. Tak sangka budak Gothic itu boleh berbahasa begitu dengannya.
“Saya memang minta Umi Zakiah carikan seseorang yang boleh membantu Mak Mah sebab dia dah tua nak buat kerja berat. Tak sangka umi hantar budak Gothic.” Syed Harraz tersenyum sinis memandang Johanna.
“Gua bukan budak Gothic. Gua rock!” Mendatar saja Johanna menjawab. Gothic dengan rock pun tak tahu nak bezakan. Huh!
“Saya nak awak tolong Mak Mah buat kerja di tingkat atas,” arah Syed Harraz tanpa mempedulikan apa bezanya antara Gothic dan rock. Baginya tetap sama saja. “Bilik saya tu perlu dikemaskan setiap hari. Alas tilam tu kena tukar seminggu dua kali. Bilik air cuci setiap hari. Bersih atau tidak, kena cuci juga. Lepas tu, tolong sapu daun-daun kering dekat luar. Pagi dengan petang. Tugas awak bermula dari pukul lapan pagi sampai lima petang. Kalau saya tak balik lagi, tunggu saya. Tak kira saya balik lewat atau tidak. Saya nak tengok kerja awak,” terang Syed Harraz.
Johanna hanya mengangguk mendengar arahan Syed Harraz.
“Mak Mah!” panggil Syed Harraz agak kuat.
“Ya, Tuan Harraz?”
“Nanti Mak Mah suruh dia buat kerja dekat tingkat atas. Mak Mah tak payah nak naik turun lagi dah. Budak ni dah ada. Kalau dia tak buat kerja, beritahu saya.” Mata Syed Harraz merenung Johanna.
Johanna ingatkan mamat jambang itu sudah selesai memberi segala arahan. Jadi dia nak berlalu dari situ. Malas nak tengok muka Tuan Harraz yang kerek dan poyo itu. Macam bagus aje!
“Eh, nak ke mana pula tu? Saya belum habis lagi!” tempik Syed Harraz. Johanna berhenti melangkah kemudian memandang Syed Harraz semula.
“Ada lagi ke? Gua ingat lu dah habis cakap, bro!” jawab Johanna selamba.
“Bro? Awak tahu tak awak tengah bercakap dengan siapa?” tanya Syed Harraz. “Saya ni majikan awak. Tolong hormat sikit. Panggil saya tuan, faham? Tuan Harraz!” sambungnya lagi.
“Hek eleh, sekarang ni bukan zaman jajahan, bro. Nak panggil tuan bagai. Kita kan dah merdeka. Lu dengan gua sama aje. Cuma, gua ni tak kaya. Lu pula orang kaya kerek!” balas Johanna berani.
Syed Harraz seolah-olah terkaku di tempatnya. Dia tak sangka budak Gothic itu begitu berani bercakap. Kemudian dia tersenyum sinis. “Lu-gua... Tu bukan bahasa kita, sis. Gaya kau ni pun bukan gaya kita. Tak payahlah kau nak ajar aku pasal bab sejarah ni. Jajah atau tak, kau kena panggil aku ni Tuan Harraz sebab aku bos kau mulai saat ni,” balas Syed Harraz pula tak nak mengalah.
“Apa-apa ajelah, bro,” balas Johanna. Malas dia nak bertekak dengan mamat bajet bagus ni. “Ada apa-apa lagi yang lu nak sambung, Tuan Harraz?” tanya Johanna, sinis. Syed Harraz sudah menjeling tajam.
“Ada. Come, follow me.” Syed Harraz terus berdiri kemudian menggamit Johanna supaya mengikutnya. Tanpa berfikir panjang Johanna terus mengekori Syed Harraz. Mereka keluar dan berdiri di ruang depan. Syed Harraz sudah menunjukkan garaj keretanya. “Kau nampak kereta-kereta kat bawah tu?” Dia menoleh kepada Johanna yang sudah berdiri di sebelahnya. Gadis itu mengangguk. “Aku nak kau cuci ketiga-tiga kereta aku. Tapi, kereta yang warna perak tu tak payah cuci sebab aku nak guna. Kau cuci yang BMW dengan Audi tu dulu,” arah Syed Harraz lagi.
“Weh, lu biar betul? Gua datang sini sebab nak tolong Mak Mah buat kerja rumah, faham? Bukan nak cuci kereta lu!” Johanna sudah bercekak pinggang sambil mendongak memandang Syed Harraz.
“Itu juga termasuk dalam skop kerja kau sekarang. Faham tu, Cik Johanna?” tanya Syed Harraz dengan kening terangkat.
“Fahamlah!” jawab Johanna keras. Hati sudah berdongkol geram. Mamat jambang ni memang dah lebih. Aku calar-calarkan juga kereta dia tu, baru tahu! omel Johanna dalam hati.
“Jangan nak mengutuk aku dalam hati kau tu. Dan jangan terfikir pun nak calarkan kereta aku. Kalau aku nampak, jaga kau!” balas Syed Harraz.
“Okey, bro!” Johanna terus angkat kaki kemudian masuk ke dalam semula. Dia meninggalkan Syed Harraz yang sudah tercengang.
Budak ni memang langsung tak takut dengan dia. Kalau kat SAS Holdings, semua pekerja gerun dan hormatkan Tuan Syed Harraz. Tapi yang seorang ni…
“I’m not your bro!” ucap Syed Harraz. Johanna sudah mengangkat tangan dan berlalu begitu saja tanpa meminta izin. Merengus keras Syed Harraz melihat kelakuan budak perempuan Gothic itu. Kemudian Syed Harraz masuk ke dalam semula. Dia melihat Mak Mah mula hendak mengemas meja makan. “Mak Mah, saya pergi dulu. Suruh aje dia buat kerja. Budak ni dari rumah akhlak. Jadi kita kena bentuk akhlak dia ni jadi elok sikit. Beritahu dia bilik kerja saya jangan berani-berani nak masuk. Saya tak akan ulang lagi apa yang saya cakap ni,” kata Syed Harraz sambil mencapai beg dan baju kotnya. Muka pula masam semacam. Hai, nampaknya di dalam rumah ni sudah tambah seorang lagi kepala batu. Bukan kepala batu. Tapi kepala biul! Rasa macam semakin meriah saja rumah besar ini nanti.
Mak Mah sudah tersenyum. Johanna mula melakukan tugasnya pada hari pertama. Pagipagi lagi dia sudah buat senaman tak standard ni. Menyapu! Halaman rumah Tuan Syed Harraz ini memang luas macam padang bola. Tapi yang ada hanya gelanggang bola keranjang. Agaknya mamat jambang itu suka main bola keranjang. Ni, petang-petang boleh main basketball memang best, bisik Johanna ketika berdiri memandang jaring yang tergantung. Okey, besok aku bawa bola. Takkan mamat jambang tu nak marah dia main bola keranjang kalau dah habis buat kerja, kan? Hampir tengah hari barulah Johanna masuk ke dalam rumah. Halaman sudah siap dia kerjakan. Kali ini dia bahu bersihkan bahagian atas pula.
“Jo, makan dulu. Lepas tu baru sambung buat kerja,” ucap Mak Mah. Johanna tersenyum. Memang dia rasa lapar sejak tadi. Tapi sebab nak kena menghadap ‘anak raja Arab’ itu, niat lapar ditelan saja. Johanna terus mengambil pinggan dan menyenduk mihun goreng. Punggung dilabuhkan ke atas kerusi lalu dia mula menyuap makanan. Sedap sungguh masakan Mak Mah ni. Macam masakan arwah nenek dia. Mak Mah menuangkan secawan kopi untuk Johanna.
“Terima kasih, Mak Mah,” ucapnya dengan mulut yang penuh. Selesai saja makan, dia mula nak menyambung kerja semula. “Mak Mah, bilik bos kat sebelah mana?” tanya Johanna sebelum keluar dari dapur.
“Belah kanan, nombor dua. Kat tengah-tengah tingkat atas tu. Master bedroom,” beritahu Mak Mah. Johanna mengangguk. Dia melangkah mendaki tangga untuk ke tingkat atas. Rumah ini memang besar. Tapi yang tinggal hanya Tuan Syed Harraz dan Mak Mah sahaja. Kepala meneliti setiap ruang tingkat atas itu. Ada ruang tamu kedua yang agak kecil sedikit daripada ruang tamu tingkat bawah. Ruang santai menonton TV juga nampak simple. Johanna melangkah ke sebuah bilik yang Mak Mah katakan. Pintu bilik dibuka dan mata Johanna terus terbuka luas. Pergh! Ini bilik mamat jambang tu? Besar gila. Kaki dibawa masuk ke bilik yang luas dan besar itu. Siap ada lampu candelier lagi. Sebuah katil saiz king terletak di tengah-tengah bilik itu. Ada night stand di kiri dan kanan katil itu. Ada almari pakaian yang besar dan berwarna putih. Ruang untuk menonton televisyen juga ada di situ. Kagum Johanna melihatnya. Dia ni hartawan atau jutawan? Sure bini ramai keliling pinggang ni. Bukan isteri… Ooopsss..