BAHAGIA MENGETUK HATI - AMANDA ZEE
HARGA : RM24.00
BUKU : BARU
TELINGAKU diganggu bunyi yang membingitkan. Kalut aku mencari puncanya. Tanganku menggagau di bawah bantal. Tersentuh benda keras, jari kutekan. Bunyi itu hilang. Lega. Baru hendak menutup semula mata yang terpisat-pisat, pendengaranku diganggu lagi. Ketukan bertalu-talu di pintu bilik pula.
"Siapa pula ni? Sekejap!" Kacau daun betul namun aku gagahkan juga bangkit dari katil. Sempat aku kerling jam di dinding. 5.45 pagi.
"Hmmm..." tanya aku malas tanpa memandang orang di depan sebaik pintu aku kuak dari dalam. Sebaliknya aku ralit menenyeh mata yang masih sukar untuk dibuka. Berat betul kelopak mataku pagi ini. Entah berapa ratus ekor syaitan agaknya yang bergayut.
“Apa nak jadi dengan kamu ni?”
“Papa…” Meleret suaraku bernada malas. Tak sangka papa sanggup mencemar duli datang ke tingkat atas semata-mata mahu mengejut aku.
"Masuk pejabat hari ni." Satu arahan muntah dari mulut papa.
"Huh?" Terlopong mulutku. Dan dan mataku terbeliak. Terkedip-kedip menatap wajah papa. Patutlah papa rela hati mengejutkan aku. Itu sebenarnya tujuan papa ke sini.
"Jangan nak buat muka terkejut. Selepas solat, turun sarapan. Kita pergi pejabat sama-sama," arah papa lagi.
"Kalau tak pergi?" Aku cuba tawar menawar. Bukan tak biasa berurusniaga dengan papa. Sudah selalu dan selalunya papa menerima tawaran aku.
"Semua kemudahan papa tarik balik. Perintah berkurung akan berkuatkuasa." ugut papa.
"Benci." Terus kututup pintu tanpa pedulikan papa yang masih berdiri di situ. Kaki aku hentak-hentak tika berjalan ke katil. Tanda memprotes atas arahan papa tadi.
Entah apa angin papa agaknya hari ini. Memaksa aku menurut perintahnya. Mungkinkah sebab semalam? Takkan lah. Aku tahu papa tahu aku selalu keluar rumah setiap malam. Tak mungkin papa tahu apa yang berlaku melainkan Hazim bercerita. Ya, melainkan Hazim bercerita.
"Jangan lambat." Papa beri amaran bersama satu ketukan kuat pada pintu bilikku.
"Arghhh!" Aku menjerit sekuat hati. Ingatkan papa sudah tiada. Rupa-rupanya setia berdiri di depan pintu bilikku. Lagi satu papa ni macam tahu-tahu aje aku nak beradu semula. Pasal kerja tu bukan ke papa tahu aku belum bersedia hendak bekerja. Belum puasenjoy.
AKU bersandar lemah. Kenapalah aku tiada adik-beradik? Kalau ada bolehlah aku mengelat. Tidaklah aku ada di dalam kereta dengan papa sekarang ini. Aku menggeleng. Banyakkan beristighfar, Ernie. Percaya kepada qadak dan qadar Allah.
"Nak tunggu sampai bila?" Papa pandang muka aku.
Masa ini aku rasa macam nak cekik-cekik Pak Samad. Kenapalah dia pandu kereta ni perlahan sangat. Skema betul. Kalau bawa dengan kelajuan ala-ala budak baru lepas dapat lessen, pukul berapanya nak sampai ke pejabat. Selalunya tidak sampai setengah jam sudah sampai. Itu pada firasat akulah sebab papa selalu akan hantar laporan pada mama. Ini mesti papa berpakat dengan Pak Samad, dugaku.
"Kalaulah papa ada anak lelaki..." Papa merenung ke luar tingkap.
"Pa..." Tangan papa aku raih. Malas mahu mendengar melankolik papa di pagi hari. Suka sangat menduga hati aku dengan kata-kata syahdu.
Papa menoleh. Tersenyum memandangku. Tanganku ditepuk lembut.
Itu kelemahan aku. Tidak sampai hati melukakan hati papa. Sementelah dia yang menjaga aku selama ini selain mama.
"Ernie akan seronok, sayang. Trust me." Papa gosok kepalaku. Tona suara papa juga lembut. Mendalam hingga mampu menusuk ke dalam hatiku yang tebal ini.
Aku renung wajah papa. Cuba kuikhlaskan riak di wajah. Tidak mahu papa terasa hati dengan sikapku tadi. Akhirnya aku menadah telinga bersama senyuman di bibir sambil mendengar cerita papa.
"We're are here. Come." Papa menggamit. Sabar menunggu aku di luar kereta.
Aku terpinga-pinga. Sudah sampai rupa-rupanya. Khusyuk mendengar cerita papa hingga tidak sedar kami sudah tiba. Badan aku tegakkan. Ada debaran di dada. Seolah-olah ada sesuatu yang menanti aku di dalam sana.
"Selamat pagi, dato'." Itu sahajalah ayat yang aku tangkap sepanjang berjalan menuju ke bilik kerja papa.
Bosan. Tak pasal-pasal aku juga terpalit sama. Terpaksa lemparkan senyuman plastik. Itu pun selepas mendengar leteran papa. Papa kata kita kena kenal dan mesra dengan semua staff. Tanpa mereka kita tak akan jadi seperti apa yang kita ada hari ini.
"Pa, toilet?" Aku berpura-pura tidak senang berdiri apabila sampai di depan pintu bilik papa.
"Nervous?" Papa menyoalku.
Aku mengangguk kemudian menggeleng.
Papa ketawa tapi diberitahu juga arah ke tandas.
Kelam-kabut aku berjalan. Betul kata papa. Mungkin aku gementar. Jam 9.00 nanti papa akan memperkenalkan aku kepada semua staff. Aku akan diletakkan di bahagian kewangan untuk permulaan. Papa mahu aku tahu kedudukan kewangan syarikat. Papa kata akauntan syarikat ini adalah yang terbaik setakat ini. Bila masa aku dapat info semua ni? Dalam kereta tadilah.
"Opsss... maaf." Satu suara garau menerjah gegendang telingaku.
Serentak itu tanganku menekan dinding mengelak diriku dari tersembam ke lantai. Mana tidaknya. Badanku dilanggar kasar hingga hampir terjatuh. Nasib tangan aku cekap. Kalau tidak memang aku buat wayang percuma dekat sini. Orang yang melanggar aku ini pun matanya letak dekat manalah. Agaknya balasan Tuhan kerana aku tidak ikhlas menerima arahan papa.
Aku mendengus. Kepala aku dongakkan.
"Kau?" Terkejut aku melihat pemilik suara garau yang meminta maaf.
Penampilan dia berbeza dari semalam. Kalau semalam dia nampak segak dengan hanya berbaju t, denim biru dan sneakers. Hari ini dia bertambah segak dengan kemeja lengan panjang biru gelap, bertali leher biru lembut dan berseluar panjang hitam serta berkasut hitam berkilat.
"Memang betullah aku hensem." Hazim ketawa.
"Perasan." Aku berpaling. Cuba menyorokkan wajah.
Oh, Ernie! Kenapa kau suka tunjukkan kebodohan depan dia? Aku tak bersalah. Siapa suruh dia menjadi makhluk Allah yang paling indah untuk dilihat? Kalau perempuan lain yang memandang pasti akan bereaksi sama seperti aku.
Kepala aku dah ting tong agaknya. Sibuk bercakaran pasal mamat bajet bagus ini dalam otak. Wait, apa dia buat dekat sini?
"Akhirnya." Hazim bersuara. Bersandar santai di dinding dengan sebelah tangan di dalam kocek seluar.
Aku memandangnya semula. Dahi aku kerutkan. Tidak faham.
Hazim tersenyum nakal. Mata dikenyitkan sebelum dengan selamba dia berlalu dari situ.
Haish...mmamat bajet bagus ini, memang menduga iman aku betul. Suka sangat meninggalkan aku dengan teka-teki. Ingat aku ni mahir sangat meneka dalam kesamaran.
"Ernie!"
Laungan kuat suara papa mematikan lamunanku. Nampaknya aku tidak dapat melepaskan 'hajat'. Semuanya gara-gara mamat bajet bagus tadi.
"Sudah?" Papa tersenyum. Bertanya sebaik aku berdiri di hadapan dia.
Aku hanya mampu mengangguk. Malu dengan soalan papa. Boleh pula bertanya soalan serupa itu di depan orang.
Pembantu peribadi papa yang bersama-sama menunggu aku turut tersenyum memandang aku. Dia menghulurkan sebuah daily planner dan sebatang pen kepada aku.
"Semua dah masuk, Yana?" Papa menoleh kepada pembantu peribadinya.
"Sudah, dato'. Tunggu dato' dan Cik Ernie saja," jawab Yana yakin.
Berdebar-debar dada aku bila mendengar jawapan Yana. Mesti semua staf hadir. Mampukah aku berdepan dengan mereka semua? Come on, Ernie. You can do it, girl.
"Kalau macam tu, kita pergi sekarang. Saya pun ada hal lain selepas ni." Papa sudah melangkah terlebih dahulu.
Yana menurut.
Aku? Sengaja melengah-lengahkan langkahku. Macamlah aku tak perlu masuk ke dalam bilik mesyuarat itu kan.
"Assalamualaikum." Papa memberi salam sebaik pintu bilik mesyuarat dibukanya.
Salam papa dijawab serentak oleh semua yang ada di dalam.
Aku kaku. Mata meliar memerhati sekeliling. Pandangan aku terhenti pada satu susuk tubuh yang sedang leka berbual di sudut bilik.
Dia? Dia pun ada di sini? Bermakna aku akan berjumpa dengan dia setiap hari. Tuhan, rencanaMu sangat hebat tetapi mampukah aku?
"Ernie!"
Saat nama aku dipanggil, mata berlaga dengan pandangan Hazim. Aku termalu sendiri. Perasan ada senyuman sinis di bibirnya. Untuk kesekian kali, aku tertangkap ketika ralit memandang dia.